Assalamualaikum dan selamat tahun baru 2022. Semoga Kau Selamat, Semoga Kau Bahagia, Semoga Kau Disayangi. Saya doakan tahun 2022 ini adalah tahun penuh kebahagiaan buat kita semua, para wanita bidadari syurga insyaallah. Saya rasa teruja diberi peluang untuk berkongsi secebis pengalaman di hari pertama tahun baru, semoga perkongsian ini memberi manfaat dan merintis jalan bahagia buat semua. Nama saya Lily (bukan nama sebenar) bekerja sebagai seorang jururawat di salah sebuah hospital kerajaan. Saya berusia awal 30-an dan merupakan seorang ibu tunggal. Saya berpisah dengan bekas suami kira-kira setahun yang lalu. Bukan sahaja kerana tiada persefahaman antara kami tetapi rumahtangga kami memang bukan suatu perkara yang baik untuk diperjuang dan dipertahankan. Saya dan bekas suami berkahwin pada 2015 yang lalu atas dasar cinta. Bagaimanapun panas yang disangka sampai ke petang, tsunami pula di tengahari. Siapa sangka lelaki yang saya kahwini dan mengharap bahagia sampai akhir hayat rupanya seorang kaki pukul. Pantang ada yang tidak kena pasti lebam-lebam badan ini dipukulnya.