Kisah yang akan aku kongsikan ini adalah pengalaman yang aku lalui sendiri. Mungkin kedengaran kelakar atau tak logik bagi sesetengah orang. Tapi percayalah ini adalah kisah benar yang pada awalnya sukar untuk aku sendiri percaya.
Nama aku Humaira (bukan nama sebenar), aku kini berusia 46 tahun. Aku berkahwin dengan suamiku Husaini (bukan nama sebenar) sudah 24 tahun. Aku bekerja sebagai seorang eksekutif akaun di sebuah firma perakaunan di ibu negara. Husaini juga bekerja sebagai seorang eksekutif di ibu kota.
Kehidupan kami tidak punya banyak masalah, segalanya tenang dan aku kira kami juga bahagia dengan cara kami. Dianugerahkan dengan 3 putera dan seorang puteri sememangnya hidup kami lengkap. Tidak pernah sepanjang pernikahan kami bertelagah atau bergaduh besar.