MENANGGUNG DERITA SENDIRIAN 10 TAHUN KERANA PENGKHIANATAN KEKASIH DAN TEMAN BAIK

Hai semua izinkan aku berkongsi rasa dan cerita di ruangan ini. Profile aku sedikit berbeza dari teman-teman yang turut berkongsi cerita di sini, kerana masalah aku sama sekali bukan berkaitan hubungan perkahwinan. Terlebih dahulu aku perkenalkan nama aku Cik Agnes, ya cik aku masih bujang dan belum pernah berkahwin. Enjoy my life happily to the fullest now ☺

Berusia lewat 30-an dan bekerja sebagai seorang pegawai di salah sebuah sektor kerajaan di ibu negara. Kisah yang bakal aku kongsikan ini sudah berlaku agak lama dan aku baru sahaja mendapat semula jiwa dan ‘kehidupan’ aku pada 2019 yang lalu. Iya satu tempoh yang panjang yang begitu memenatkan dan menyakitkan. 

Jika anda pernah melalui sebarang tekanan emosi, berdepan kekecewaan yang menyakitkan tolong dapatkan bantuan dan cari penyelesaian segera. Amat zalim untuk diri kita sendiri membiarkan dan mengizinkan kehidupan kita menderita dan sakit untuk jangkamasa yang panjang. 


Kisahnya bermula begini, aku pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang jejaka bernama Emran (bukan nama sebenar) sekitar tahun 2008 yang lalu. Hubungan kami baik dan normal sama seperti pasangan bercinta yang lain. Banyak meluangkan masa bersama berdua dan juga bersama rakan-rakan kami. Semuanya berjalan lancar sehingga pada tahun 2010 aku tiba-tiba terserempak dengan Emran  bersama Adlina ( bukan nama sebenar) yang merupakan kawan baik aku di sebuah restoran.

Bayangkan perasaan aku ketika itu, jantung aku berdegup laju, terasa darah menyirap ke muka . Masih tidak mahu percaya apa yang aku sedang lihat ketika ini. Pelbagai persoalan bermain di minda aku, bagaimana Emran boleh keluar makan dengan Adlina tanpa pengetahuan aku?. 

Selain itu ekspresi wajah dan bahasa tubuh mereka juga menunjukkan sesuatu yang menimbulkan curiga dalam hatiku. Aku cuba bersangka baik dan bertenang namun perasaan sakit ini sangat payah untuk aku sembunyikan. Bagaimanapun waktu itu aku berusaha untuk tidak dilihat oleh mereka. Aku perhatikan gerak geri meraka dari jauh dan aku mengekori mereka sehingga mereka meninggalkan restoran tempat kami terserempak.


Kereta aku pandu pada jarak selamat agar tidak dilihat oleh mereka, namun perasaanku ini sukar antuk aku jelaskan. Ada rasa marah yang membuak-buak tetapi ada juga rasa ingin menafikan dan mengharapkan semua ini hanya mimpi semata-mata. Pemanduan aku akhirnya berhenti di rumah Adlina. 

Hatiku hancur sehancurnya, air mataku mengalir deras tanpa dapat disekat. Bagaimana untuk aku berdepan hakikat satu pengkhianatan yang datang daripada insan-insan yang begitu dekat dihatiku. Kenapa dalam banyak-banyak orang Emran perlu punya hubungan sulit dengan Adlina? Temanku yang paling rapat, tempat aku curahkan segala isi hati , suka-duka hidupku. Allahuakhbar, aku meraung semahunya, hatiku kini penuh dendam dan benci. 

Sumpah aku katakan, kalau ketika ini Adlina ada di depan mataku ingin sahaja aku tampar wajahnya itu. Insan yang aku percaya dengan segala kebaikan dan keburukanku mengkhianati aku dengan menggunakan kelemahan yang aku sendiri ceritakan padanya. Sungguh berat untuk aku percaya dan terima mereka menikam aku dari belakang dengan hubungan sehingga ke katil.


Sejak hari itu kehidupan aku jadi tidak tentu arah, kekecewaan ini tidak dapat aku lupakan sama sekali. Selepas seminggu aku mengetahui tentang pengkhianatan mereka aku akhirnya memutuskan hubungan dengan Emran memalui mesej whats apps sahaja. Tidak kuasa aku mengadap muka lelaki jahat yang mencurangi aku dengan teman rapat aku sendiri. 

Dengan Adlina pula aku bertemu empat mata dengannya, habis segala maki hamun aku hamburkan kepadanya. Kalau dalam dunia ini membunuh itu tidak salah pasti sudah lama Adlina hilang nyawa berdepan kemarahan aku yang begitu memuncak. Sikap aku yang pemarah dan penuh sarkastik sebelum ini benar-benar trigger dengan tindakan mereka. 

Cuma satu yang aku kesalkan, mengapa walau aku sudah menghamburkan kemarahan dan maki hamun pada mereka berdua hati aku tetap rasa amat pedih, fikiranku bercelaru dan kesediahan ini tidak juga berakhir. Hari berganti hari, tahun berganti tahun aku masih belum mampu melupakan kesakitan ini dan move on dengan hidup aku. Bayangkan Emran dan Adlina kantoi berhubungan sulit pada 2010 namun sehingga tahun 2015 hidup aku sendiri masih huru-hara. 

Sepanjang tahun 2015 motivasi aku untuk bekerja ke laut sama sekali. Habis semua cuti tahunan dan peruntukan cuti sakit aku gunakan untuk aku melayan perasaan.Bukan itu sahaja di pejabat aku langsung tidak mesra dan tidak mahu bergaul dengan rakan sepejabat dengan baik. Aku memilih dengan siapa aku berkawan dan aku hanya berkawan dengan orang yang aku rasa sama level dengan aku sahaja. 

Sehingga tahun 2016 aku masih tidak berubah, kesakitan ini jadi makin parah kerana aku masih tidak boleh move on dengan perasaan aku pada Emran. Sekali sekala aku masih menghubunginya sekadar melepaskan rasa rindu yang dalam dan menyakitkan. Cuma mungkin sudah terlalu lama aku tenggelam dalam kemurungan dan kesedihan itu aku akhirnya mencari penyelesaian di laman Youtube cara merawat hati yang terluka.

Ketika itu aku terjumpa dengan video perkongsian Puan Diyana Tahir yang merupakan Pakar Perhubungan dan Keintiman. Selepas video demi video aku tonton aku sedari ada keserasian dalam cara penyampaian Puan Diyana dan cara aku berfikir. Aku gali lebih dalam lagi dan cuba mencari penyelesaian namun segalanya dibiarkan begitu sahaja.


Depresi dan kelukaan ini memang benar-benar dalam sehingga aku tidak mampu untuk mengeluarkan diri aku daripadanya. Aku sekali lagi kembali ke alam ciptaan aku yang penuh kesedihan, kesakitan dan penolakkan.Keajaiban akhirnya muncul jua, apabila pada tahun 2019 aku terbuka hati dan benar-benar berazam untuk mengubati hatiku dan mengakhiri kesakitan ini selamanya.

Selepas mengikuti perkongsian Puan Diyana Tahir pada 2016 aku sentiasa mengikuti perkembangan program yang dijalankan Puan Diyana. Jadi pada 2019 aku telah mendaftar masuk kelas Kembali Bahagia yang dijalankan  selama tiga hari berturut-turut. Aku mengikuti program ini dengan harapan aku dapat keluar daripada kebuntuan hidup aku yang tenggelam dalam kecewa dan kemarahan. 

Aku benar-benar ingin merasai hidup tenang dan bahagia semula. Aku rindu dengan kehidupan aku yang dahulu sebelum semua krisis inin terjadi. Perkongsian hari pertama dalam kelas Kembali Bahagia seolah-olah membuka mata dan hati aku yang telah lama buta dek api kemarahan yang membuak-buak dalam mencari punca dan penyelesaian kepada masalah hatiku. Aku mula amalkan terapi syukur yang diajarkan dalam kelas, terapi yang benar-benar mendekatkan semula aku dengan Allah.


Mula meyakini semula setiap ketentuan Allah itu perlu diterima dengan redha. Tanpa aku sedari sudah terlalu lama aku tidak melihat kehidupanku dengan rasa syukur kepada Allah. Aku hanya tahu marah dan protes apabila perkara yang berlaku tidak seperti yang aku harapkan.Keduanya adalah terapi maaf. Kemaafan ini adalah perkara yang amat aku perlukan, kerana sikap  amarah yang terlalu besar menyebabkan aku sentiasa menyalahkan orang atas setiap perkara yang berlaku.

Tanpa aku peduli sebab sebenarnya aku akan terus menyalahkan semua orang lain dan aku sama sekali tidak pernah salah. Melalui terapi maaf ini aku amalkan setiap hari dan kemaafan yang paling besar adalah kemaafan aku kepada diriku sendiri. Demi marah dan ego aku biarkan diriku terseksa, aku biarkan diriku terus menangis, membiarkan aku hidup dalam depresi selama 10 tahun.

Ya Allah sungguh aku berdosa membenarkan segala kesakitan ini bersarang dalam  hidupku tanpa bantuan dan rawatan. Ketiganya adalah Self Love. Self love ini adalah ilmu paling mahal yang mampu mengubah seluruh dunia hanya dengan mengubah diriku sendiri. Terlalu banyak pengabaian yang aku lakukan pada diriku dahulu, aku sentiasa tampil lebih kurang dan sanggup keluar temujanji kerja atau dengan teman-teman hanya memakai track suit dan rambut ikat tocang sahaja.


Aku tidak melayan diriku sewajarnya dengan kasih sayang, aku tidak manjakan diriku dan tidak mencantikkan diriku. Banyak masa dan tenaga aku habiskan dengan fikiran-fikiran negatif dan merosakkan diriku sendiri.Kini dengan hanya satu langkah dan dengan mengizinkan diri untuk bahagia dan tenang aku kini bukan lagi aku yang dulu. Wajahku kini sentiasa dihiasi senyuman manis dan wajah masam mencuka dahulu telah aku hapuskan sama sekali. 

Aku yang dahulu begitu liat membantu, kini aku jadi ringan tulang dan bermurah hati. Apa sahaja pertolongan yang diminta oleh rakan sepejabat pasti aku usahakan untuk mencari penyelesaian terbaik. Jika ada majlis makan-makan dipejabat pasti akulah akan jadi orang paling sibuk dan pastikan makanan banyak dan cukup untuk semua orang. Agnes yang dahulu jangan haraplah, memang kompem tak masuk campur dan takkan hadir sama sekali. 

Syukur pada Allah aku kini Agnes yang penuh penerimaan dan kemaafan. Aku layan diri aku dengan kelembutan dan belas kasih kerana aku percaya bahagia itu kita yang ciptakan. Diriku kini aku izinkan untuk merasa tenang dan cantik. Setiap kali keluar rumah pasti aku ambil masa berdandan dan tampil rapi walau hanya untuk ke kedai runcit. 

Perubahan aku rupa-rupanya disedari Emran kerana Emran pernah menyuarakan pada adik lelaki ku “ kakak dah lain sekarang”. Begitu juga Adlina, sewaktu terserampak di satu majlis aku mengurnya dengan baik dan sopan seolah-olah tiada apa yang berlaku antara kami sebelum ini. Jelas riak wajah tidak percaya di muka Adlina manakan tidak sebelum ini Adlina memang teruk kena maki. Aku maafkan mereka berdua atas apa yang berlaku dan aku anggap semua perkara ini adalah cara Allah untuk mengajarku untuk jadi manusia yang penuh kasih sayang dan cinta.


Share on your social media :

Facebook
Twitter
Pinterest
LinkedIn
WhatsApp

Leave a comment

Penafian :
Apa yang kami nyatakan di web ini adalah benar dan tepat mengikut fakta semasa dan dari ulasan testimoni sebenar.
Copyright © 2021 | ehati International Sdn Bhd – All rights reserved

UA-139074358-1